AGENDA

Perangkaan: Selangor catat jualan bazar Ramadan, Aidilfitri tertinggi RM0.6 bilion

22 Jun 2022, 7:04 AM
Perangkaan: Selangor catat jualan bazar Ramadan, Aidilfitri tertinggi RM0.6 bilion

PUTRAJAYA, 22 JUN: Bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini merekodkan nilai jualan sebanyak RM2.4 bilion dan mewujudkan 156,361 peluang pekerjaan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Penemuan itu adalah berdasarkan Laporan Kajian Khas Bazar Ramadan dan Aidilfitri 2022 yang julung kali dijalankan DOSM bermula 3 April hingga 29 April lepas, meliputi semua bazar yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata Selangor mendominasi nilai jualan bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan rekod jualan sebanyak RM0.6 bilion dengan bilangan pekerja seramai 31,563 orang.

Ia diikuti Kuala Lumpur yang merekodkan nilai jualan RM0.4 bilion dengan bilangan pekerja 10,993 orang dan Johor RM0.3 bilion (22,423 pekerja).

Di peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM230.2 juta, diikuti Johor Bahru dengan RM126.3 juta dan Hulu Langat, RM117.9 juta.

Bagi prestasi bazar Ramadan, Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM527.4 juta, diikuti Kuala Lumpur sebanyak RM359.2 juta dan Johor RM257.4 juta.

Bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM213.8 juta, diikuti Johor Bahru dengan RM113.6 juta dan Hulu Langat RM110.6 juta.

Selangor mencatatkan bilangan pekerja bazar Ramadan tertinggi iaitu seramai 27,078 orang, diikuti Johor 20,326 orang dan Perak 11,126 orang.

Bagi prestasi bazar Aidilfitri, Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan nilai jualan dan bilangan pekerja bazar yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak RM115.8 juta dan 4,485 orang.

Di peringkat daerah pentadbiran, Melaka Tengah mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM61.8 juta, diikuti Klang RM59.4 juta dan Seberang Perai Utara RM23.5 juta.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619