EXCO

EXCO: SOP solat sunat Aidiladha ikut peraturan sedia ada

21 Jun 2022, 8:36 AM
EXCO: SOP solat sunat Aidiladha ikut peraturan sedia ada

KLANG, 21 JUN: Tatacara operasi piawai (SOP) solat sunat Aidiladha di masjid, surau dan musala di negeri ini sama seperti pelaksanaan solat Jumaat dan lima waktu, kata EXCO agama.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peralihan negara ke fasa endemik serta kes Covid-19 yang semakin berkurang.

"SOP bagi solat sunat Aidiladha adalah sama seperti solat Jumaat dan solat lima waktu, tiada sebarang penambahan. Jika ada perubahan, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.

“Namun, jemaah masih perlu menjaga diri dan dinasihatkan kekal memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri ketika menunaikan solat sunat hari raya nanti,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan kewangan kepada pelajar yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin di Sungai Bertih, di sini hari ini.

Selain itu, Mohd Zawawi turut menjelaskan bagi aktiviti korban pula umat Islam dibenar melaksanakan ibadah itu pada tahun ini seperti sedia kala dengan syarat perlu di kawasan lapang, sama ada masjid atau padang.

"SOP baru ini sudah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj iaitu ibadah korban boleh dilaksanakan di mana-mana premis lapang berbanding sebelum ini di masjid sahaja," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengumumkan kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal berkuat kuasa 1 April.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619