AGENDA

655 bakal jemaah mohon Insentif Haji Muassasah negeri

19 Jun 2022, 12:17 PM
655 bakal jemaah mohon Insentif Haji Muassasah negeri

AMPANG, 19 JUN: Sebanyak 655 permohonan insentif Haji Muassasah diterima daripada bakal jemaah seluruh Selangor setakat ini sejak dibuka 23 Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek berkata bakal jemaah yang sudah mendapat tarikh ke tanah suci diberi insentif RM500.

“Kita beri terlebih dahulu sumbangan kepada mereka yang sudah ada tarikh untuk ke tanah suci, manakala yang belum akan menyusul kemudian berdasarkan data Lembaga Tabung Haji (TH).

“Bagaimanapun kita memperuntukkan sebanyak 3,000 penerima tahun ini dan permohonan masih dibuka sehingga 31 Ogos ini,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan insentif itu kepada 24 bakal jemaah sekitar Hulu Langat di Masjid Al-Azim, Pandan Indah di sini hari ini.

Insentif disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selain dihadiri EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim serta EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang bakal menunaikan haji.

Jemaah yang layak akan menerima tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.

Dalam pada itu, Norita berkata pihaknya turut mengambil kesempatan menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada masjid berkenaan bagi mengimarah pusat ibadat.

“Jumlah ini cukup signifikan bagi pihak pengurusan masjid menjalankan program atau baik pulih kerosakan yang ada.

“Serahan sumbangan kepada masjid lain diteruskan dalam empat siri Jelajah Selangor Penyayang di daerah ditetapkan dengan pemilihan dibuat wakil rakyat setempat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619