AGENDA

MB: Fungsi SELangkah diperluas, jadi buku kesihatan individu

15 Jun 2022, 4:01 AM
MB: Fungsi SELangkah diperluas, jadi buku kesihatan individu

SHAH ALAM, 15 JUN: Fungsi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) diperluas sebagai buku kesihatan seiring perkembangan era digital.

Dato' Menteri Besar berkata keputusan pemeriksaan kesihatan melalui program Selangor Saring dipapar dalam aplikasi itu akan disimpan sebagai rekod kesihatan individu untuk rujukan masa depan.

"Langkah ini bertepatan menjadikan Selangor sebagai negeri pintar 2025. Selain meningkatkan kecekapan capaian data, perkembangan kesihatan boleh dipantau individu secara real-time.

"Rawatan awal boleh diusahakan apabila perlu. Secara tidak langsung, memanfaatkan pelaburan aplikasi ini," kata Dato' Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Beliau turut meminta rakyat negeri ini mendaftar di aplikasi itu untuk mendapatkan pemeriksaan jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, serviks dan payu dara secara percuma.

Pada 28 Mei lalu, pengurus besar Selgate Healthcare Sdn Bhd menasihati peserta program Selangor Saring supaya tidak memadam aplikasi berkenaan sebaik selesai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma itu.

Dr Jeevarajah Ratnarajah berkata ia berikutan keputusan pemeriksaan akan ditunjukkan dalam aplikasi tersebut dan disimpan sebagai rekod kesihatan individu.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi program Selangor Saring yang dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat Selangor terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Penyakit disaring meliputi kategori penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Kategori barah membabitkan kolorektal, prostat, serviks serta payu dara manakala kategori mata pula merangkumi rabun, glaukoma dan retina.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619