AGENDA

HARAPAN khuatir kes rasuah menjadi-jadi, seru tindakan tegas dan segera

14 Jun 2022, 5:02 AM
HARAPAN khuatir kes rasuah menjadi-jadi, seru tindakan tegas dan segera

SHAH ALAM, 14 JUN: Pakatan Harapan (HARAPAN) melahirkan kebimbangan dan marah susulan kes rasuah yang dilaporkan semakin menjadi-jadi dalam negara ini.

Terbaharu melibatkan mantan ketua setiausaha negara yang menerima bayaran RM30,000 sebulan selaku ahli lembaga penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut majlis presiden, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengaku menerima bayaran tersebut meskipun tiada sebarang mesyuarat lembaga penasihat 1MDB diadakan.

"Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana pada ketika beliau menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB ini beliau masih memegang jawatan ketua setiausaha negara," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurut majlis presiden, satu lagi kes yang merisaukan melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menerima antara RM63,5543 hingga RM1.65 juta sebulan.

Pengakuan oleh bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd itu turut mendedahkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin melalui Umno Bahagian Rembau menerima dana antara RM50,000 hingga RM200,000.

"Kedua-dua kes ini amat merisaukan, bukan hanya kerana ia melibatkan tokoh-tokoh politik besar tetapi juga tokoh utama perkhidmatan awam. Majlis presiden mengulangi komitmen memerangi rasuah.

"Oleh itu, beberapa reformasi dan tindakan tegas perlu dilaksana kerajaan dengan segera termasuk Rang Undang-Undang Pendanaan Politik serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bawah bidang kuasa Parlimen," katanya lagi.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619