AGENDA

Lebih 60 kolam, tasik sesuai jadi takungan tambahan depani kemarau

13 Jun 2022, 5:37 AM
Lebih 60 kolam, tasik sesuai jadi takungan tambahan depani kemarau

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengenal pasti lebih 60 kolam dan tasik di seluruh lembangan di negeri itu, yang berpotensi dijadikan kolam takungan tambahan sebagai persediaan jangka panjang bagi menghadapi kemarau yang dijangka berlaku pada 2025.

Pengarahnya Hasrolnizam Shaari berkata daripada jumlah itu, 21 kolam telah diluluskan kerajaan negeri untuk diluas dan dilebarkan bagi menambah kapasiti takungan.

“Pada peringkat pertama, kesemua lebih 60 kolam dan tasik yang dikenal pasti ini telah kita kemas kini maklumatnya, termasuk status tanah dan kebolehgunaannya.

“Kemudian kita telah mendapat kelulusan dari kerajaan negeri untuk 21 kolam disiap siagakan menjadi kolam tambahan, dengan mendalam dan melebarkannya di mana pembinaannya akan dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri Selangor iaitu Kumpulan Semester Sdn Bhd,” katanya ketika menjadi tetamu program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV bertajuk “Air Di Selangor: Persediaan Menghadapi Kemarau” hari ini.

Dalam masa sama, Hasrolnizam berkata pihaknya turut membina infrastruktur lain bagi memastikan air takungan dari kolam berkenaan, dapat disalurkan ke loji rawatan air antaranya dengan pendekatan mengepam air sebelum disalirkan ke sungai.

Hasrolnizam berkata dalam pengurusan sumber air yang lebih baik, LUAS juga telah membangunkan aplikasi yang boleh merekodkan jumlah air sedia ada secara masa nyata, sebagai persediaan untuk melepaskan air untuk digunakan.

Terdahulu, beliau berkata bekalan air di Lembah Klang mampu bertahan selama lapan bulan sekiranya berlaku kemarau pada 2025.

“Ketika ini seluruh penduduk di Lembah Klang termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur meliputi 6.5 juta penduduk mendapat bekalan air terawat dari negeri Selangor, dengan jumlah penggunaan harian 500 juta liter.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619