AGENDA

Pelajar IPT ditahan selepas tinggalkan bayi depan gerai

9 Jun 2022, 10:00 AM
Pelajar IPT ditahan selepas tinggalkan bayi depan gerai

ARAU, 9 JUN: Polis menahan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) hari ini berhubung kes penemuan seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan yang dibalut dengan plastik hitam di hadapan sebuah gerai berhampiran Taman Seri Wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perlis ACP Wari Kiew berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu sekitar pukul 9.10 pagi tadi dalam keadaan masih bertali pusat.

"Hasil siasatan awal mendapati Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis juga telah menerima panggilan daripada seorang wanita (suspek) yang memaklumkan telah meninggalkan seorang bayi berdekatan kawasan berkenaan.

Wanita itu juga telah meninggalkan nombor telefon setelah dipujuk oleh pihak JKM," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Wari berkata selepas menerima panggilan itu, JKM Perlis telah bergegas ke lokasi terlibat dan menemui seorang bayi masih bertali pusat yang dibalut dengan plastik hitam.

Beliau berkata pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) turut ke lokasi berkenaan dan membawa bayi tersebut ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Bayi itu dilaporkan kini berada dalam keadaan sihat dan stabil," katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619