AGENDA

Lebih 1,200 duta rel bantu penumpang LRT, MRT rancang perjalanan

8 Jun 2022, 12:30 PM
Lebih 1,200 duta rel bantu penumpang LRT, MRT rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Rapid KL menggerakkan lebih 1,200 petugasnya sebagai Duta Rel bagi membantu penumpang merancang perjalanan dan mendapat maklumat terbaharu berkenaan program, kempen, acara dan promosi menarik di sekitar ibu kota.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata duta rel berkenaan ditugaskan di 19 stesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel, sejak 17 Mei lepas dan dilatih khusus untuk berinteraksi dengan penumpang.

Antara 19 stesen itu ialah di Masjid Jamek, I0l Puchong Jaya, Bandar Tasik Selatan, KL Sentral, Hang Tuah, Bukit Bintang, Maluri, Pasar Seni, Muzium dan Cochrane.

“Duta Rel akan berkongsi maklumat terbaharu tentang produk, perkhidmatan dan rangkaian rel dan bas, memberi bantuan maklum balas, aduan ataupun cadangan penambahbaikan.

“Duta Rel ini akan berada di luar kaunter khidmat pelanggan khususnya pada waktu puncak, dengan mengenakan selempang dan topi 'ASK ME' bagi memudahkan pengguna mengenal pasti mereka,” katanya ketika melancarkan kempen Selesa dan Selamat (2S) bersama Rapid KL, di sini hari ini.

Mohd Azharuddin berkata program Duta Rel yang merupakan sebahagian daripada kempen tersebut, akan dikembangkan kesemua 149 stesen sepanjang rangkaian rel dan hab basnya yang terpilih, dalam masa tujuh bulan.

Katanya Kempen 2S merupakan inisiatif memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam, yang turut dipacu program penawaran Pelan Perlindungan Hospital (HPP) percuma selama tiga bulan, menerusi kolaborasi dengan syarikat insurans antarabangsa American International Group Malaysia Insurance Berhad (AIG).

HPP ditawarkan secara percuma kepada 50,000 pemohon pertama yang mendaftar menerusi applikasi mudahalih PULSE, bermula daripada Khamis depan (16 Jun) serentak dengan pembukaan Fasa 1 MRT Laluan Putrajaya.

Dengan perlindungan yang diberikan menerusi HPP, para penumpang pengangkutan awam kendalian Rapid KL yang memegang polisi HPP, akan mendapat elaun tunai harian sebanyak RM50 setiap sehari jika dimasukkan ke hospital sehingga 14 hari disebabkan penyakit berjangkit tertentu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619