AGENDA

Pemain didakwa terbabit kes rogol direhatkan KUFC

7 Jun 2022, 12:00 AM
Pemain didakwa terbabit kes rogol direhatkan KUFC

KOTA BHARU, 7 JUN: Kelantan United Football Club (KUFC) merehatkan seorang pemain pasukan yang didakwa terbabit dalam kes rogol remaja bawah umur.

Ketua Pegawai Operasi KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, dalam kenyataan semalam berkata pemain itu direhatkan daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier sehingga dimaklumkan kelak.

Menurutnya langkah itu diambil susulan dakwaan pelakuan tidak bermoral yang tular di media sosial yang dikaitkan dengan pemain berkenaan.

"Pihak KUFC memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dan menunggu laporan penuh berkenaan kes yang didakwa terhadap pemain tersebut.

"KUFC sentiasa mendukung undang-undang negara dan berpendirian tidak bertolak ansur dengan sebarang pelakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak dalam kelab," katanya.

Beliau berkata KUFC tetap berpegang pada prinsip 'seorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah', namun jika didapati bersalah, satu tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak.

Sebelum ini, media melaporkan pemain berusia 28 tahun itu ditahan dekat Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata pemain itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan remannya tamat pada 3 Jun lepas dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619