AGENDA

Agong, permaisuri zahir takziah kepada keluarga legenda bola sepak negara

1 Jun 2022, 1:30 PM
Agong, permaisuri zahir takziah kepada keluarga legenda bola sepak negara

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak negara Syed Ahmad Syed Abu Bakar yang meninggal dunia, hari ini.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Syed Ahmad dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat sukan bola sepak tanah air.

“Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut catatan di Facebook Istana Negara hari ini.

Syed Ahmad, 76, yang berasal dari Pontian, Johor mencipta nama menyarung jersi negara dari 1966 hingga 1974 dan meninggalkan legasi bersama tiga pasukan dari utara iaitu Pulau Pinang (1965-1972), Perak (1972-1980) dan Kedah (1980-1981).

Allahyarham semasa bersama skuad kebangsaan berjaya menjaringkan gol dalam aksi kelayakan di Seoul, Korea Selatan pada 1971 yang melayakkan Malaysia beraksi di Sukan Olimpik.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619