AGENDA

Empat kakitangan hospital ditahan terlibat rasuah pengurusan jenazah

31 Mei 2022, 12:00 AM
Empat kakitangan hospital ditahan terlibat rasuah pengurusan jenazah

SHAH ALAM, 31 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor semalam menahan empat kakitangan di sebuah hospital di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima suapan antara RM1,000 dan RM5,000 setiap seorang bagi kerja berkaitan pengurusan jenazah.

Menurut sumber, dua suspek merupakan pembantu kesihatan dan dua lagi adalah penolong pegawai perubatan berusia antara 35 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira 6 petang tadi di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, kesemua suspek dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, tiga daripada suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk mendapatkan perintah reman, manakala seorang lagi suspek yang merupakan penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun akan dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pada 27 Mei lepas, dua pembantu kesihatan masing-masing berusia 40 dan 42 tahun direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sama.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619