AGENDA

Badminton Terbuka Malaysia terima sambutan, tiket hampir habis dijual

29 Mei 2022, 2:26 PM
Badminton Terbuka Malaysia terima sambutan, tiket hampir habis dijual

KUANTAN, 29 MEI: Tiket kejohanan badminton Terbuka Malaysia, kini dikenali sebagai Petronas Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil dari 28 Jun hingga 3 Julai ini hampir habis dijual.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh berkata sambutan diterima amat menggalakkan selepas dua tahun kejohanan itu tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19.

"Saya difahamkan sambutan sangat baik dan diberitahu tiket hampir habis dijual untuk peringkat suku akhir dan ke atas… ada sedikit lagi tiket tinggal," katanya ketika ditemui pemberita pada kejohanan badminton Petronas Bawah 21 Tahun di Dewan Badminton Persatuan Badminton Pahang di sini hari ini.

Tiket kejohanan tersebut mula dijual pada 26 Mei lepas menerusi www.myticket.asia dengan harga dari RM25 hingga RM500, manakala promosi untuk 2,000 tiket pertama telah habis dijual.

Kejohanan itu, yang merupakan satu daripada lima kejohanan siri super berprestij dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF), bakal menyediakan hadiah keseluruhan US$675,000 (RM2,963,250).

Sementara itu, mengenai kejohanan hari ini yang disertai pemain pelapis dan remaja, beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan prestasi pemain yang mempamerkan kualiti permainan tinggi.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lepas itu menyaksikan Hoh Shou Wei Justin memenangi kategori perseorangan lelaki manakala Wong Ling Ching muncul juara perseorangan wanita.

Bagi kategori beregu lelaki, gelaran johan menjadi milik Muhammad Fazriq Mohamad Razif dan Wong Vin Sean, manakala Teoh Lexuan dan Wong Ling Ching mengungguli beregu wanita dan gandingan Tan Wei Liang-Ho Lo Ee memenangi kategori beregu campuran.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619