AGENDA

Premis cuci tong kimia disita, denda RM500,000 dipercayai punca sungai tercemar

29 Mei 2022, 8:46 AM
Premis cuci tong kimia disita, denda RM500,000 dipercayai punca sungai tercemar
Premis cuci tong kimia disita, denda RM500,000 dipercayai punca sungai tercemar

SHAH ALAM, 29 MEI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya membongkar kegiatan haram sebuah premis di Klang yang menjalankan kerja cucian tong terpakai dipercayai berisi sisa kimia, semalam.

Pengarahnya berkata operasi pegawai penguat kuasa bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan polis menemui ratusan tong terpakai yang sedia dicuci di ruang terbuka di lokasi terbabit.

Menurut Nor Aziah Jaafar, pemeriksaan turut mengesan aliran air berwarna biru di luar longkang premis sehingga ke longkang besar berhampiran.

[caption id="attachment_523200" align="alignleft" width="375"] Keadaan Sungai Aur di Klang yang bertukar warna biru dipercayai mempunyai kaitan dengan kerja cucian tong terpakai berisi sisa kimia . Foto JAS Selangor [/caption]

"Kegiatan mencuci tong terpakai berisi sisa kimia yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW409 dijalankan tanpa sebarang kelulusan JAS.

"Wakil premis seorang lelaki berumur lewat 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan.

Premis dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran sehingga siasatan selesai.

Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 34A, Seksyen 34B, Seksyen 25, Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Nor Aziah turut memaklumkan kompaun keseluruhan RM500,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Beberapa sampel air berwarna dan sisa buangan terjadual berkaitan kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau percaya pembongkaran kes terbabit mempunyai kaitan dengan insiden air Sungai Aur berwarna biru sehingga menggemparkan penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran pada Disember tahun lalu yang turut mendapat perhatian wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee.

"JAS Selangor memandang serius kesalahan dilakukan serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada penjenayah alam sekitar," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619