AGENSI

Raja Muda: Utamakan keselamatan berbasikal, pengguna jalan raya harus toleransi

29 Mei 2022, 8:00 AM
Raja Muda: Utamakan keselamatan berbasikal, pengguna jalan raya harus toleransi
Raja Muda: Utamakan keselamatan berbasikal, pengguna jalan raya harus toleransi

SHAH ALAM, 29 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor bertitah masyarakat perlu mengutamakan keselamatan dengan persediaan perlu sebelum memulakan aktiviti berbasikal.

Peringatan tersebut disampaikan Tengku Amir Shah menerusi titah ucapan ketika merasmikan kempen ‘Smart Cycling’ anjuran Komuniti Belia Selangor (SAY) diadakan di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

“Kempen ini bukan sahaja menyatupadukan komuniti berbasikal tetapi juga bagi memberi maklumat, pengetahuan dan pelbagai lagi persediaan kepada pengayuh sama ada yang baharu atau lama.

“Ia juga untuk meningkatkan kesedaran dan wujud sifat toleransi dalam kalangan pengguna jalan raya di samping mengelak berlakunya kemalangan tidak diingini,” titahnya.

Tengku Amir bertitah kempen tersebut juga amat penting bagi memperkasa dan menyatupadukan semua sudut ekosistem berbasikal di Selangor.

Kempen ‘Smart Cycling’ dibiayai Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut mendapat kerjasama strategik Malaysian National Cycling Federation (MNFC), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Darul Ehsan Facilities Management (DEFM).

[caption id="attachment_523184" align="aligncenter" width="551"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan program Smart Cycling Fest 2022 dan majlis perasmian kempen Smart Cycling di Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 29 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Pelbagai pengisian menarik diadakan sejak 8 pagi hingga 2 petang antaranya Klinik 'Ride Safe' iaitu pengayuh akan diajar persediaan serta keselamatan ketika mengayuh dan perkara yang boleh dilakukan dan sebaliknya ketika berkayuh.

Selain itu, turut diadakan pertandingan 'Push Bike' bagi kanak-kanak tiga hingga enam tahun, persembahan basikal BMX, sesi forum dan pameran daripada pelbagai agensi serta persatuan basikal.

Tengku Amir juga tidak ketinggalan meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra dengan pengayuh cilik selain melawat gerai pameran basikal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619