ad
AGENSI

10 wanita antara 100 sukarelawan negeri jalani latihan bersama bomba

28 Mei 2022, 3:45 PM
10 wanita antara 100 sukarelawan negeri jalani latihan bersama bomba

SHAH ALAM, 28 MEI: Seramai 100 ahli Sukarelawan Selangor (SERVE) disenarai untuk menyertai SERVE Elit bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam operasi bencana.

Ketuanya Ahmad Danish Hairudin berkata mereka yang terpilih adalah dalam kalangan 300 ahli yang disaring oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bagi menyertai skuad tersebut.

"SERVE mempunyai 3,800 ahli dan daripada jumlah itu 300 adalah mereka yang memberikan komitmen dalam misi bantuan banjir serta mempunyai tahap kecergasan yang baik.

"Mereka disaring MSN baru-baru ini dan hanya 100 individu sahaja terpilih bagi mengikuti latihan bersama Bomba Selangor selepas ini," katanya kepada SelangorKini.

Ahmad Danish berkata berkata daripada jumlah itu, seramai 10 sukarelawan adalah wanita dan golongan itu diperlukan dalam situasi tertentu ketika berlaku bencana.

"Jika ada mangsa wanita, ada yang trauma golongan sesuai untuk menghadapi situasi itu pastinya ahli wanita," katanya.

Katanya latihan dua minggu bersama Bomba Selangor dijangka diadakan pada Jun atau Julai hadapan sebelum 100 ahli SERVE Elit memulakan tugas selewat-lewatnya pada November.

Sebelum ini, EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata sebanyak RM100,000 diperuntuk bagi menubuhkan pasukan SERVE Elit.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.