AGENDA

Tempoh guru kontrak perkhidmatan tamat 9 Jun dilanjut - menteri

28 Mei 2022, 6:20 AM
Tempoh guru kontrak perkhidmatan tamat 9 Jun dilanjut - menteri

PUTRAJAYA, 28 MEI: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersetuju melanjutkan tempoh perkhidmatan guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 yang tamat kontrak pada 9 Jun ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Katanya, pelanjutan berkenaan bertujuan membolehkan proses berkaitan pelantikan mereka sebagai guru di bawah bidang kuasa SPP dapat dilaksanakan.

“Guru COS 2020 yang akan tamat pada Jun ini, jangan risau. Kita dapat maklum balas daripada SPP semalam bahawa tempohnya akan dilanjutkan bagi membolehkan segala proses dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8(3) di sini, hari ini.

Pada 5 Mei lepas, Radzi dilaporkan berkata nasib 2,600 guru COS ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

Dalam pada itu, Radzi berkata keputusan temu duga guru COS bagi pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan DG41 secara one-off tahun 2021 telah diumumkan oleh SPP semalam.

Calon boleh menyemak keputusan temu duga melalui portal SPP di pautan www.spp.gov.my manakala urusan penempatan calon yang berjaya akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Mengenai pembinaan sekolah baharu tersebut, Radzi berkata projek yang menelan kos hampir RM38 juta dengan kapasiti 36 bilik darjah itu, dijangka siap pada November 2023 dan mula beroperasi pada Januari 2024.

“Pada masa ini, murid SK Putrajaya Presint 8(3) menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 11(2) sejak 2020, melibatkan 439 murid di 18 bilik darjah.

“Ia (pembinaan sekolah baharu) merupakan sebahagian daripada usaha KPM dalam memastikan kawasan yang penduduknya meningkat setiap tahun secara konsisten, diberi satu keutamaan dalam konteks pembinaan sekolah baharu mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata pembinaan sekolah tersebut juga akan mewujudkan penempatan untuk seramai 96 guru dan 13 kakitangan pentadbiran.

Sehingga kini terdapat 16 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah di Putrajaya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619