AGENDA

Pengguna makin mahir, selesa bayar parkir secara digital

23 Mei 2022, 10:11 AM
Pengguna makin mahir, selesa bayar parkir secara digital

SHAH ALAM, 23 MEI: Pengguna tidak berdepan sebarang isu berkait bayaran parkir secara digital yang dikuat kuasa di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri awal April lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata orang ramai semakin selesa dan mahir menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) selain pembelian e-kupon melalui ejen yang dilantik.

"Tiada masalah besar dan berjalan lancar setakat ini. Kami hanya terima satu dua aduan yang mana mereka kurang mahir guna aplikasi SSP, tetapi itu senang sahaja diselesaikan.

"Kami lantik ramai ejen yang jual e-kupon, jadi tidak timbul masalah mereka tidak boleh beli kupon tersebut," katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEB Waste Management (KDEBWM) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sze Han memaklumkan PBT juga akan melaksanakan parkir maksimum dua jam di kawasan tertentu dalam masa terdekat.

"Sebab itu kita laksana bayaran parkir digital sepenuhnya. Kita perlu ada satu kawalan (parkir) yang baik, kalau tanpa bayaran digital susah untuk kita kawal parkir tersebut," katanya.

Bayaran parkir di seluruh PBT dilaksana secara digital bermula 1 April lalu dengan aplikasi SSP boleh dimuat turun di Google Playstore, AppStore atau Huawei Store.

Sebanyak 57,518 kupon parkir gores ditukar kepada e-kupon melibatkan transaksi hampir RM40,000 sehingga 18 April.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619