AGENDA

Empat suspek seleweng lebih 8,300 liter diesel subsidi didakwa di mahkamah

21 Mei 2022, 10:29 AM
Empat suspek seleweng lebih 8,300 liter diesel subsidi didakwa di mahkamah

SHAH ALAM, 21 MEI: Tindakan empat lelaki termasuk dua warga asing yang menyeleweng 8,355 liter diesel bersubsidi akhirnya memakan diri apabila dihadapkan ke mahkamah semalam.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun itu dicekup di sebuah premis di Jenjarom, Kuala Langat.

Selain itu, Azman Adam berkata pihaknya turut menemui dua lori yang sedang melakukan aktiviti pemunggahan minyak diesel di kawasan tersebut pada Selasa lalu.

"Kita berjaya memberkas dua lelaki warga Bangladesh dipercayai pekerja atau penjaga premis, selain menahan dua lelaki warga tempatan disyaki pemandu lori bagi membantu siasatan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM198,330 termasuk minyak diesel dan beberapa peralatan serta dokumen. Kes ini sudah dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang untuk pertuduhan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Azman berkata dua lelaki warga tempatan tidak mengaku bersalah dan dilepaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang.

"Manakala, dua lelaki warga asing ditahan kerana tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan diri," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619