AGENDA

Polis pertingkat serbuan, buru ketua sindiket dadah

21 Mei 2022, 9:05 AM
Polis pertingkat serbuan, buru ketua sindiket dadah

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan operasi dan serbuan untuk memburu ketua-ketua sindiket dadah di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pengedaran dadah tidak boleh dihapuskan selagi ketua-ketua sindiket dadah masih berleluasa.

Katanya, sejak beliau mengambil alih JSJN baru-baru ini, tumpuannya adalah untuk menangkap tokan-tokan dadah berkenaan.

“Untuk makluman dalam tempoh empat bulan ini, JSJN dalam op tapis telah menahan 1,500 tokan dadah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran JSJN di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata JSJN menyahut cabaran Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya sindiket pengedaran dadah diperangi habis-habisan untuk menjamin masa depan remaja di negara ini.

“Kegiatan edar dadah ini takkan habis begitu sahaja, mereka (sindiket dadah) akan mencari ruang dan jalan untuk teruskan kegiatan mereka.

“Semalam, menteri (Hamzah) semasa perasmian AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) minta polis meningkatkan momentum untuk menyekat pengedaran dan penyeludupan dadah,” katanya.

Mengulas mengenai trend penyeludupan dadah menggunakan vape di Sentul, Ayob Khan berkata pengedar dadah akan mencari kaedah dan modus operandi yang baharu untuk memperdayakan polis serta orang awam.

“Secara kasarnya memang vape okay tetapi tidak apabila dicampur dengan dadah. Polis akan ambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalannya Datuk Razarudin Husain.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619