AGENDA

Tawaran rebat tunai 35 peratus, galak penerbit luar buat penggambaran di Malaysia

19 Mei 2022, 6:37 AM
Tawaran rebat tunai 35 peratus, galak penerbit luar buat penggambaran di Malaysia

CANNES, 19 MEI: Tawaran rebat tunai 30 peratus melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (Fimi) dan tambahan sehingga lima peratus melalui 'cultural test' dilihat mampu menarik lebih banyak syarikat produksi luar negara untuk memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir berkata ini merupakan satu kelebihan yang perlu ditonjolkan kepada penggiat industri luar memandangkan jumlah rebat tunai yang ditawarkan itu adalah yang tertinggi berbanding negara lain.

"Tak ramai pihak luar tahu, penerbit-penerbit khususnya bahawa kita mempunyai insentif yang tinggi rebatnya sehingga 35 peratus yang mana negara-negara jiran kita pun seperti Thailand hanya 25 peratus.

"Jadi kita nampak ini satu kelebihan yang perlu kita tonjolkan supaya lebih banyak pihak luar tahu tentang rebat yang kita ada dan dengan ini ia akan menyemarakkan lagi industri filem di negara kita," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata Finas berhasrat menggunakan pasaran filem Marche Du Film 2022 yang berlangsung di sini sebagai platform bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi penggambaran antarabangsa selain mempromosi dan menjual produk kandungan kreatif negara.

"Melalui rebat ini sebenarnya kita nak menjana industri perfileman di negara kita supaya lebih meriah kerana dengan adanya penggambaran yang dilakukan di Malaysia kita mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada guna tenaga dalam produksi itu daripada orang tempatan.

"Jadi di situ ada berlakunya pertukaran kemahiran dan pengetahuan serta pengalaman bagi penggiat seni di Malaysia," katanya.

Md Nasir berkata mana-mana penggiat industri yang menjalani penggambaran di Malaysia dengan perbelanjaan minimum RM1 juta bagi penerbit filem tempatan manakala RM5 juta bagi penerbit antarabangsa, mereka layak untuk mendapat rebat tunai 30 peratus.

Sementara tambahan sehingga lima peratus melalui 'cultural test' pula boleh diperoleh sekiranya penerbit filem tersebut memaparkan elemen kenegaraan, kesenian, kebudayaan dan sebagainya dalam filem yang dihasilkan.

Mengulas mengenai sasaran RM50 juta pelaburan asing ke dalam Malaysia melalui FIMI pada Marche Du Film, Md Nasir berkata sasaran itu mampu dicapai memandangkan beberapa syarikat luar negara berminat untuk membeli kandungan kreatif negara.

"Sasaran RM50 juta ini adalah berasaskan kepada engagement ataupun pertemuan yan telah dilakukan antara pihak pengeluar di Malaysia dan juga pembeli daripada peringkat luar. Mereka telahpun buat engagement dan daripada semalam dan juga hari ini mereka masih meneruskan lagi perbincangan.

"Insya-Allah memang dah ada beberapa syarikat dari luar yang berminat untuk membeli kandungan negara kita," katanya.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 Mei.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619