ADN

Wakil rakyat salur maklumat, daftar golongan sasar untuk saringan kesihatan percuma

18 Mei 2022, 11:30 AM
Wakil rakyat salur maklumat, daftar golongan sasar untuk saringan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 18 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) menyambut baik langkah Kerajaan Negeri memperkenal program Selangor Saring dan sedia membantu bagi memastikan penduduk mendapat maklumat jelas bagi menyertainya.

Wakil rakyat Sekinchan berkata beliau akan meminta ketua kampung dan ketua komuniti menguar-uar program saringan kesihatan percuma itu kepada penduduk setempat selain hebahan akan turut dilakukan melalui aplikasi WhatsApp.

"Kita sedia maklum kawasan ini ada sebahagian penduduk tidak mahir mendaftar secara dalam talian jadi mereka akan diminta datang ke pusat khidmat untuk didaftarkan," kata Ng Suee Lim.

ADN Seri Setia pula menyasarkan penduduk di Desa Mentari dan Lembah Subang berikutan sebahagian besar penduduknya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan (B40).

"Dua kawasan ini mempunyai penduduk yang padat dan pastinya lokasi sesuai untuk diadakan program itu nanti.

"Majlis perwakilan penduduk (MPP) akan diberi peranan dalam membuat hebahan dan membantu golongan sasar untuk mendaftar," kata Halimey Abu Bakar.

Sementara itu, wakil rakyat Sungai Ramal pula akan menggunakan data penduduk susah yang pernah meminta bantuan dari pusat khidmat bagi memudahkan pihaknya mengesan golongan sasar.

"Kita ada lebih 8,000 nama tetapi bukan semuanya diambil, kita pilih yang benar-benar layak untuk didaftar.

"Selain kita juga akan minta ketua kampung bantu menguar-uar kepada penduduk di kawasan masing-masing," kata Mazwan Johar.

Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM3.4 juta bagi melaksanakan program Selangor Saring, iaitu saringan kesihatan percuma kepada rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dijangka memberi manfaat kepada 39,000 penduduk terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619