AGENDA

Pemandu treler terlibat kemalangan maut lima pelajar IPT direman

12 Mei 2022, 2:00 PM
Pemandu treler terlibat kemalangan maut lima pelajar IPT direman

KUALA KANGSAR, 12 MEI: Pemandu treler yang ditahan bagi membantu siasatan kemalangan maut di KM245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar tengah malam tadi direman selama empat hari mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata reman ke atas pemandu berumur 28 tahun sehingga Ahad ini dibuat untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan polis mendapati pemandu treler itu mempunyai 22 saman.

"Daripada jumlah itu, 21 saman telah dibayar termasuk lapan saman kesalahan pandu laju," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kemalangan itu, lima mangsa yang rentung merupakan pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang juga rakan serumah.

Mereka ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penunpang belakang.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan mozek datang dari arah selatan menghala ke utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan dari KM246 hingga 244.4 ditutup bagi penyelenggaraan jalan.

Pada masa sama, kereta jenis Honda City dinaiki kelima-lima pelajar itu sedang mengekori di belakang treler berkenaan dengan memperlahankan kenderaan namun dengan secara tiba-tiba datang treler membawa muatan besi pagar yang memandu dari arah sama di belakang kereta itu tidak sempat membrek dan mengelak lalu telah merempuh bahagian belakang kenderaan itu.

Treler itu kemudian menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619