AGENDA

Kes Covid di Kelantan tidak meningkat meskipun ramai perantau pulang

10 Mei 2022, 8:40 AM
Kes Covid di Kelantan tidak meningkat meskipun ramai perantau pulang

KOTA BHARU, 10 MEI: Bilangan kes Covid-19 di Kelantan tidak menunjukkan peningkatan meskipun dengan kepulangan begitu ramai perantau menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata meskipun jangkaan awal akan berlaku kenaikan kes, namun sebaliknya berlaku dan jumlah kes masih pada dua digit.

Beliau berkata keadaan itu menunjukkan keberkesanan Pelan Pemulihan Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti penekanan kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan program vaksinasi termasuk dos penggalak.

"Syukur kerana kita sudah masuk fasa peralihan ke endemik dan bilangan kes tidak banyak walaupun di peringkat awal kita menjangkakan dengan migrasi ramai rakyat dari negeri yang kes Covid-19 tinggi ke sini, maka akan berlaku kenaikan.

“Kita bersyukur kerana sehingga hari ini iaitu seminggu sebelum dan seminggu selepas Aidilfitri kes masih tidak menunjukkan peningkatan dan masih kekal di dua digit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Hari Raya Bersama Media di pejabatnya di Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Katanya meskipun terdapat kes baharu, jumlahnya tidak tinggi malah kemasukan ke hospital juga berkurangan termasuk kes serius yang membawa kepada kematian.

“Bagi saya vaksin amat berkesan bagi mencegah Covid-19 daripada menjadi semakin buruk dan ia satu kejayaan besar kepada usaha kerajaan," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak dan dos penggalak yang agak rendah di negeri ini, Dr Izani berkata jumlah kes yang semakin berkurangan mungkin menyebabkan sebahagian penduduk menangguhkan vaksinasi.

"Kemungkinan ada penduduk yang merasakan kita sudah berjaya mendapat imuniti kelompok sehingga tidak perlu lagi mendapatkan vaksin," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619