AGENDA

MetMalaysia: Monsun Barat Daya dijangka bermula Sabtu ini

10 Mei 2022, 5:02 AM
MetMalaysia: Monsun Barat Daya dijangka bermula Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Monsun Barat Daya dijangka bermula Sabtu dan berterusan sehingga pertengahan September tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata semasa tempoh ini, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang stabil.

"Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain serta menghasilkan taburan hujan yang rendah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata hujan lebat beserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Ketika tempoh ini, fenomena jerebu juga boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya semasa Ogos hingga Oktober.

Beliau menasihatkan orang ramai agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan hubungi hotline Jabatan Meteorologi Malaysia di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619