AGENDA

Polis siasat video anggota trafik iringi kenderaan orang awam

8 Mei 2022, 1:59 AM
Polis siasat video anggota trafik iringi kenderaan orang awam

GEORGE TOWN, 8 MEI: Polis Pulau Pinang menjalankan siasatan terperinci berhubung satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir, dekat sini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya juga telah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis negeri itu susulan video yang tular di media sosial sejak semalam.

"Pada Sabtu (semalam) kira-kira pukul 8.36 malam terkesan satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun anwarazeez dan rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki (orang awam) memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik PDRM.

"Pihak Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan berkenaan kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Gambir itu dan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi klip video itu yang dimuat naik di laman sosial Facebook, kelihatan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak ahli parlimen.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman warganet yang tidak berpuas hati dengan individu tersebut yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619