PETALING JAYA, 7 MEI: Gagasan #KitaSemuaKEADILAN dilancarkan hari ini bagi memperkenal calon dan visi mereka dalam memajukan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Program anjuran Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor itu sempena proses pemilihan pimpinan parti bagi penggal 2022/2024.
Setiusaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyempurnakan majlis itu. Pengerusi MPN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyampaikan ucapan.
Selain Amirudin yang bertanding kerusi naib presiden, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin turut diperkenal sebagai calon jawatan sama selain Adam Adli Abd Halim (ketua Angkatan Muda KEADILAN), Senator Fadhlina Sidek (ketua wanita) dan Juwairiya Zulkifli (timbalan ketua wanita).
Berlangsung di Dewan Sivik MBPJ, dekat sini, program berkenaan dihadiri kira-kira 2,000 ahli akar umbi termasuk wakil dari setiap negeri.
[caption id="attachment_519943" align="aligncenter" width="550"] Pengerusi MPN KEADILAN Selangor Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) bersama pimpinan KEADILAN mengangkat plakad ketika Majlis Pelancaran Gagasan #KITASEMUAKEADILAN di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 7 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Acara berkenaan diteruskan dengan jamuan Aidilfitri yang turut dihadiri Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pemilihan parti, seramai 11,282 calon peringkat cabang dan jawatan tertinggi bertanding dalam pengundian yang dijadual berlangsung pada bulan ini.