AGENDA

Muat naik hubungan sulit di media sosial, wanita maut dipukul suami

7 Mei 2022, 12:00 AM
Muat naik hubungan sulit di media sosial, wanita maut dipukul suami

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Seorang wanita maut akibat dipukul suaminya dipercayai kerana memuat naik di media sosial bahawa lelaki itu mempunyai hubungan sulit, dalam kejadian di sebuah flat di Cheras sehari sebelum Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mangsa berusia 28 tahun itu dipercayai dipukul dengan tangan dan kaki serta senjata tumpul sehingga menyebabkan kematiannya.

Beliau berkata sehubungan itu, suami mangsa yang berusia 38 tahun ditahan pada hari sama (Ahad) di rumahnya itu susulan laporan yang diterima daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Kajang.

“Pada 9.16 pagi 1 Mei, polis telah menerima laporan daripada pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Kajang menyatakan telah terima wanita berusia 28 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri yang telah dihantar oleh suaminya ke hospital itu. Wanita itu kemudian disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata pemeriksaan luaran ke atas wanita itu oleh pegawai perubatan berkenaan mendapati terdapat kesan lebam di beberapa anggota badan dan didapati kematian itu mencurigakan.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul.

“Motif pembunuhan adalah suspek marah terhadap mangsa disebabkan mangsa telah memuat naik di media sosial bahawa suspek mempunyai hubungan sulit,” katanya.

Beliau berkata kes telah dirujuk kepada pihak pendakwa raya dan suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kajang, Isnin ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619