AGENDA

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah pada 31 Mei

5 Mei 2022, 11:10 AM
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah pada 31 Mei

BUKIT GANTANG, 5 MEI: Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah dijadualkan pada 31 Mei ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata segala persiapan bagi urusan tersebut berjalan lancar dan pihaknya sedang menunggu jemaah menjawab surat tawaran yang dihantar Lembaga Tabung Haji (TH) pada 24 April lepas.

“Jemaah yang menerima tawaran itu hendaklah membuat persiapan seperti menyediakan pasport antarabangsa, lengkap vaksin dan mempunyai kesihatan yang baik,” katanya dalam sidang media pada Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Kampung Sungai Petai hari ini.

Dilaporkan kuota jemaah haji Malaysia adalah seramai 14,306 orang tahun ini.

Idris berkata jumlah jemaah yang akan menyertai penerbangan pertama dan terakhir sedang dibuat penjadualan semula oleh TH dan beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan agensi tersebut untuk menguruskannya.

“Pihak TH sedang menunggu mungkin ada jemaah yang menolak tawaran dan TH akan memberikan keutamaan kepada jemaah yang lain," katanya dan menambah pengurusan haji tahun ini agak mencabar namun yakin TH mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mengendalikannya.

Mengenai rayuan kuota haji, Idris berkata beliau akan membawa surat rayuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diserahkan kepada Raja Salman Abdulaziz dalam masa terdekat.

Selain itu, Idris berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa agama untuk membuat siasatan mengenai kes tokoh agama didakwa berjoget di kelab malam.

“Saya tidak berani komen kerana benda itu tak pasti. Biar pihak berkuasa siasat,” katanya ketika diminta pemberita mengulas klip video yang kononnya memaparkan seorang tokoh agama dan penasihat sultan sedang berhibur di sebuah kelab malam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619