AGENDA

Piala Thomas: New Zealand tarik diri, ramai pemain dijangkiti Covid-19

4 Mei 2022, 7:11 AM
Piala Thomas: New Zealand tarik diri, ramai pemain dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 MEI: New Zealand terpaksa menarik diri daripada menyertai Piala Thomas selepas beberapa pemain mereka dijangkiti Covid-19, hanya tinggal empat hari sebelum pertandingan bermula di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Menurut Badminton New Zealand, mereka memutuskan untuk menarik diri daripada kejohanan berpasukan lelaki berprestij dunia itu selepas beberapa pemainnya diuji positif Covid-19 semasa Kejohanan Oceania baru-baru ini dari 28 April hingga 1 Mei di Melbourne, Australia.

“Semasa kejohanan dan pada hari-hari berikutnya selepas acara itu, beberapa pemain diuji positif. Ini telah menyebabkan pasukan semakin kekurangan pemain, dengan kemungkinan kes positif tambahan dikesan semasa tiba di Thailand.

“Keputusan sukar untuk menarik diri pasukan dibuat dengan mengambil kira semua faktor dan meletakkan kebajikan pemain sebagai keutamaan dalam pemikiran kami. Kami memberi tumpuan untuk menyokong baki pemain New Zealand di Australia dan membawa mereka pulang dengan selamat, secepat mungkin,” menurutnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

New Zealand diundi dalam Kumpulan D dengan juara 2014 Jepun, England dan Malaysia.

Memandangkan Jepun adalah antara pasukan pilihan dalam kejohanan itu, Malaysia kini perlu menang menentang England untuk memastikan tiket ke suku akhir. Hanya dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Juara bertahan Indonesia, China dan Denmark adalah pilihan untuk kejohanan ini yang akan berlangsung dari 8 hingga 15 Mei.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan berasingan berkata Amerika Syarikat (AS) akan menggantikan New Zealand dalam Kumpulan D.

“Tidak ada persatuan ahli Oceania lain yang dapat memenuhi tempat kuota benua. Hong Kong dan Sepanyol berada di kedudukan seterusnya berdasarkan ranking dunia, tetapi mereka juga menolak.

“Pasukan AS mengesahkan penyertaan mereka dan akan berada dalam Kumpulan D bersama Jepun, Malaysia dan England,” menurut BWF.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619