AGENDA

Bekas menteri pertahanan meninggal dunia pada usia 94 tahun

30 Apr 2022, 1:35 AM
Bekas menteri pertahanan meninggal dunia pada usia 94 tahun

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta di sini pada 8.43 malam ini, akibat sakit tua.

Allahyarham berusia 94 tahun.

Anak veteran UMNO itu, Tengku Farith berkata bapanya yang mesra disapa Ku Deen mengalami strok dua minggu lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj.

“Tetapi pagi ini Allahyarham mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Tengku Farith berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Wilayah Jalan Duta 8.30 pagi esok (30 April), untuk dimandikan dan solat jenazah di masjid itu.

Bagaimanapun, katanya  lokasi pengebumian masih belum diputuskan sama ada di Masjid Negara atau  Bukit Kiara.

Selain berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas untuk membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara (1973) sebelum menjadi Menteri Maklumat dan Fungsi Khas (1974).

Allahyarham kemudian menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Maklumat (1986).

Sebelum itu, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 1970 dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972.

Dalam arena politik, Allahyarham merupakan bekas Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO pada 2001 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1987).

Bekas Pengerusi UMNO Kelantan itu juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang pada 1973 selain bekas Presiden Majlis Pengelola Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMA).

Jasanya dalam bidang pendidikan pula ialah sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti dalam bidang sukan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619