AGENDA

Garis panduan operasi sekolah 4.0 diumum dalam masa terdekat

25 Apr 2022, 2:35 PM
Garis panduan operasi sekolah 4.0 diumum dalam masa terdekat

PUTRAJAYA, 25 APRIL: Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0, akan diumumkan selepas pengumuman mengenai kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mahu memastikan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0 yang akan diumumkan itu, selaras dengan apa yang diumumkan KKM.

“Selesai sahaja pengumuman KKM, kita selaraskan perkara yang dibincangkan dengan KKM dan akan mengumumkan garis panduan 4.0 dalam masa terdekat,” katanya semasa berucap pada Majlis Ihya Ramadan Bersama Media di sini hari ini.

Radzi berkata pembukaan sekolah yang bermula sejak Mac lepas, dilakukan dengan niat untuk tidak lagi menutupnya, justeru ia perlu dilaksanakan dengan cermat.

“Kita tahu bahawa ramai ingin melihat sektor pendidikan dibuka dengan lebih meluas. Insya-Allah kita sudah buka sedikit demi sedikit cuma kita mengambil pendekatan lebih cermat.

“Biar lambat asalkan selamat, sebab bila kita buka nanti insya-Allah kita dapat terus beroperasi dan sekolah tidak perlu ditutup lagi,” katanya.

Pada 17 April lepas, Radzi dilaporkan berkata Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 4.0, bakal diumumkan bulan ini di mana ia termasuk aktiviti kokurikulum yang sebelum ini hanya dibenarkan di sekolah sahaja, selain penggunaan kantin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kelonggaran beberapa SOP Covid-19 yang bakal diumumkan Rabu ini, bersifat selamat dan cermat bagi memastikan kerajaan tidak mahu tersilap langkah dan mengelak usaha yang dilakukan untuk mengawal wabak Covid-19 selama ini, disia-siakan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619