AGENDA

Zakat Selangor tawar empat pakej bantuan asnaf, sasar sumbangan RM1.6 juta

21 Apr 2022, 2:17 AM
Zakat Selangor tawar empat pakej bantuan asnaf, sasar sumbangan RM1.6 juta

SHAH ALAM, 21 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM1.6 juta melalui program Kasihku Zakat Selangor tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata jumlah itu adalah peningkatan sebanyak lima peratus berbanding nilai sumbangan yang diperoleh tahun lalu.

Katanya, lima syarikat sudah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama menyantuni asnaf dan melaksanakan program dirancang sepanjang tahun ini, namun tidak mendedahkan nama syarikat terbabit.

“Uniknya program ini, pihak pengeluar zakat dapat bersama LZS menyalurkan bantuan kepada asnaf melalui empat pakej bantuan iaitu pendidikan, modal, perubatan dan sosial.

“Syarikat yang menyertai program ini turut diberi kebebasan menentukan jenis bantuan yang ingin disalurkan dan cara ia disampaikan,” katanya pada Majlis Iftar Cahaya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Dalam majlis itu, syarikat e-panggilan Grab Malaysia menyalurkan sumbangan RM66,484.72 daripada RM531,877.78 zakat pendapatan bagi menjayakan program Kasihku Zakat Selangor tahun ini.

Mohd Sabirin berkata sumbangan Grab Malaysia itu akan disalurkan melalui program Singgah Sahur, Cahaya Ramadan, Bakul Raya Warga Emas, Dapur Raya Asnaf Mualaf termasuk Iftar Cahaya Aidilfitri.

“Buat kali pertamanya Grab Malaysia menyertai program ini dan tahniah kerana memberikan sokongan serta kepercayaan kepada LZS walaupun dalam keadaan mencabar.

“Saya doakan Grab Malaysia terus diberi keberkatan dalam perniagaan dan dikurniakan keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2017, Kasihku Zakat Selangor menarik penyertaan pelbagai syarikat korporat dan individu antaranya Puncak Niaga, Lembaga Tabung Haji, Mahsa Universiti dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619