AGENDA

Sultan, Tengku Permaisuri titah hayati, amal kandungan al-Quran

19 Apr 2022, 4:41 AM
Sultan, Tengku Permaisuri titah hayati, amal kandungan al-Quran

SHAH ALAM, 19 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menyeru umat Islam terus menghayati dan mengambil iktibar peristiwa turunnya al-Quran.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin bertitah kitab suci itu bukan hanya untuk dibaca, sebaliknya perlu difahami serta dihayati kandungannya.

Menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Baginda bertitah al-Quran memiliki ilmu yang sangat bernilai, yang hanya dapat diperolehi melalui tadabbur atau memahami ayat-ayatnya.

"Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia serta terbukti menyelesaikan sebarang permasalahan yang berlaku.

"Ia termasuk peringkat pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, pembinaan sosial juga kelestarian budaya. Al-Quran merupakan tunjang dan dasar dalam memastikan setiap tindakan dipasak dengan nilai agama," menurut kenyataan itu sempena Nuzul Quran hari ini.

Pada masa sama, Baginda turut mengingatkan muslimin dan muslimat sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan mengambil pengajaran daripada isi kandungannya.

Titah Baginda lagi, kitab suci itu telah mengangkat Islam sebagai agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi untuk kehidupan manusia seluruhnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619