AGENDA

Pengusaha rugi RM20,000 sarang madu kelulut dimusnah beruang

19 Apr 2022, 3:03 AM
Pengusaha rugi RM20,000 sarang madu kelulut dimusnah beruang

KUALA KRAI, 19 APRIL: Seorang pengusaha madu kelulut di Kampung Geretak Kangkong, di sini, kerugian RM20,000 apabila 30 daripada 180 sarang kelulutnya dimusnahkan beruang sejak akhir tahun lepas.

Che Awang Mat Zin, 69, yang mengusahakan madu kelulut di tanah seluas 0.4 hektar berkata kejadian terbaharu berlaku semalam.

Menurutnya, selain log kelulut, haiwan liar itu turut merosakkan pagar yang dibina di kawasan madu kelulutnya itu.

"Setiap satu log berharga RM700, akibat serangan haiwan liar itu saya kerugian kira-kira RM20,000.

“Akibat kejadian itu hasil tuaian dan pendapatan saya terjejas, sebelum ini saya mampu meraih pendapatan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan hasil jualan madu kelulut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Awang berkata sebelum ini dia pernah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan segera.

"Perhilitan telah mengambil tindakan dengan memasang perangkap haiwan itu beberapa bulan lepas namun tidak berhasil kerana haiwan itu 'cerdik'.

"Jika haiwan ini berterusan berkeliaran bukan sahaja sarang kelulut saya musnah, malah penduduk dan kebun penduduk di sini turut terancam, saya harap pihak berwajib akan terus mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini," kata pesara kerajaan itu.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619