AGENDA

Rakyat boleh balik beraya di kampung - PM

16 Apr 2022, 6:52 AM
Rakyat boleh balik beraya di kampung - PM

BERA, 16 APRIL: Kerajaan masih berpegang dengan pendiriannya sebelum ini untuk membenarkan rakyat pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah kata Perdana Menteri beliau sendiri berpesan kepada mereka yang ditemuinya untuk meraikan hari raya dengan baik bersama keluarga masing-masing selepas dua tahun tidak merayakan perayaan itu di kampung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Ismail Sabri berkata beliau sendiri sebagai Perdana Menteri 'lari daripada kebiasaan' dengan tidak mengadakan rumah terbuka di Seri Perdana pada hari raya pertama, yang merupakan kelaziman setiap kali Aidilfitri, bagi memberi peluang kepada rakyat menyambut hari raya bersama keluarga terlebih dahulu.

"Saya sebut pada mereka (yang saya temui) bahawa anak-anak boleh balik beraya tahun ini. Saya percaya ramai yang sudah pulang ke kampung dari hari puasa pertama kerana jalan raya sesak teruk disebabkan ramai yang pulang untuk berbuka di kampung.

"Kali ini, untuk beri peluang orang balik beraya, kita mengadakan Rumah Terbuka Perdana Menteri pada 8 Mei... balik kampung dahulu beraya dengan keluarga kerana sambutan malam sebelum raya memang ditunggu-tunggu untuk bersama-sama membuat persediaan," katanya.

Ismail Sabri yang juga ahli parlimen Bera berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Petronas kepada golongan memerlukan termasuk golongan miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim dan ibu tunggal di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Mengkarak hari ini.

Bagaimanapun, dalam keseronokan pulang ke kampung, Perdana Menteri meminta orang ramai untuk terus melakukan kawalan kendiri walaupun banyak kelonggaran diberikan selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lepas.

"Walaupun kawalan kendiri tidak diwajibkan, namun pemakaian pelitup muka masih diwajibkan. Saya berharap masing-masing boleh melakukan kawalan kendiri untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang lain walaupun tiada lagi penjarakan fizikal," katanya.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Ismail Sabri berkata sumbangan wang tunai yang diagihkan hari ini dan esok kepada 4,800 penerima dari sekitar Parlimen Bera adalah bagi membantu penerima membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut Hari Raya pada 3 Mei ini dan Ismail Sabri berkata rumah terbuka di Bera akan diadakan pada 7 Mei di Dataran Kerayong.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619