AGENDA

Selangor didahulukan naik taraf rangkaian 5G, kata menteri

14 Apr 2022, 1:37 AM
Selangor didahulukan naik taraf rangkaian 5G, kata menteri

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mendahulukan Selangor dalam usaha pelaksanaan dan naik taraf rangkaian perkhidmatan 5G, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

“Di bawah Program Jalinan Digital Negara (Jendela), ada tiga program sedang berjalan iaitu yang pertama adalah menambah menara telekomunikasi baharu untuk 4G, manakala untuk penaiktarafan menara telekomunikasi kepada 5G, negeri Selangor akan didahulukan,” katanya.

Beliau berkata dua lagi program di bawah Jendela termasuklah meningkatkan jumlah rumah yang mempunyai sambungan gentian optik, dan menaik taraf sistem pemancar daripada 3G kepada 4G.

Katanya di bawah program Jendela, Selangor menerima peruntukan yang tinggi iaitu sebanyak RM5.34 bilion, untuk menaik taraf sistem telekomunikasi di negeri itu.

Beliau berkata melalui peruntukan tersebut, sebanyak 313 menara telekomunikasi baru telah siap dibina setakat ini di negeri itu, manakala 35 menara lagi sedang dalam proses pembinaan.

“Selain itu, sejumlah 7,197 sistem pemancar telah dinaik taraf kepada 4G, dan sebanyak 652 sedang dalam pelaksanaan.

“Sebanyak 419,896 premis kini telah mempunyai sambungan gentian optik manakala pemasangan sebanyak 196,422 premis lagi, sedang dilaksanakan,” katanya pada majlis moreh bersama wakil agensi dan jabatan di bawah K-KOMM serta rakan strategik di Selangor, di sini malam tadi.

Manakala bagi inisiatif Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), beliau berkata mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor yang masih belum dilengkapi PEDi, diminta untuk memohon kepada kementerian untuk kelulusan segera.

Setakat ini terdapat 48 PEDi telah diwujudkan dan mula beroperasi di Selangor.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619