AGENSI

PKPS sedia teruskan program jualan murah jika ramai minta

10 Apr 2022, 8:36 AM
PKPS sedia teruskan program jualan murah jika ramai minta

SHAH ALAM, 10 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sedia meneruskan program Jualan Prihatin Rakyat yang dijadualkan berakhir hujung bulan ini sekiranya mendapat permintaan ramai.

Pengurus Besar Perniagaan dan Pemasarannya Rosnani Abdul Malek berkata bagaimanapun perkara itu perlu dibincang bersama EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim sebelum mencapai kata putus.

"Saya percaya ramai penduduk menyambut baik program ini kerana pelbagai produk serta barangan asas dijual pada harga lebih murah berbanding harga semasa sekali gus membantu mengurangkan kos perbelanjaan mereka.

"Namun, kita perlu tengok dahulu. Jika ada permintaan, kita akan teruskan kerana program ini sepatutnya berakhir menjelang Aidilfitri," katanya selepas meninjau program jualan murah di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa di sini, hari ini.

Program Jualan Prihatin Rakyat diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi inisiatif itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619