AGENDA

Dua kilang proses makanan kotor, bau najis tikus diarah tutup

2 Apr 2022, 6:23 AM
Dua kilang proses makanan kotor, bau najis tikus diarah tutup

GEORGE TOWN, 2 APRIL: Kilang memproses produk berasaskan kacang soya dan kilang memproses mee dan kuetiau telah diarah tutup selama dua minggu kerana kotor dan menjijikkan, termasuklah terdapatnya najis tikus di ruang pemprosesan makanan dan stor.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata menerusi serbuan Ops Tegar Siri 2 itu, pihaknya mendapati tahap kebersihan kedua-dua premis tersebut tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.

Katanya, kilang-kilang tersebut, yang terletak di Jalan Perak dan Batu Lanchang di sini, juga dikenakan masing-masing tiga kompaun bernilai hampir RM12,000.

"Malah, pihak kami juga telah memberi Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa hari ini hingga 16 April ini," katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

Mohd Wazir berkata dalam pemeriksaan di kilang memproses produk berasaskan kacang soya di Batu Lanchang, pihaknya menemui najis tikus, bekas penutup soya dipenuhi fungus dan lipas, malah premis yang beroperasi sejak 10 tahun lepas itu juga didapati meletakkan bekas berisi kacang soya di atas lantai tandas di kilang itu.

Malah lebih menjijikkan, katanya, apabila kawasan kilang yang menghasilkan produk seperti air kacang soya, tauhu dan taufufah untuk edaran di sekitar George Town itu, turut berbau hancing dipercayai berpunca daripada air kencing tikus.

Menurutnya kilang tersebut pernah dikenakan kompaun dan diarahkan tutup selama 14 hari atas kesalahan sama dua tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata kilang pembuatan mee dan kuetiau berkenaan didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan peralatan yang digunakan dipenuhi habuk dan lendir.

Mohd Wazir berkata pihaknya percaya peralatan tersebut tidak pernah dibasuh, selain keadaan lantai premis yang licin yang boleh mendatangkan bahaya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619