AGENDA

MBI: 17 OKU penglihatan terjejas banjir terima bantuan kewangan

31 Mac 2022, 11:35 AM
MBI: 17 OKU penglihatan terjejas banjir terima bantuan kewangan

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Seramai 17 orang kelainan upaya (OKU) terjejas bah di negeri ini menerima bantuan kewangan tambahan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata sumbangan RM500 itu adalah tambahan kepada Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bagi meringankan beban golongan berkenaan.

Katanya, bantuan kepada penerima yang layak itu segera diagihkan selepas semakan dilakukan oleh Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).

"Ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami selaras dengan slogan memacu kehidupan. Kita sedar rakyat yang ditimpa bencana sememangnya memerlukan bantuan ini.

"Jadi, kita membelanjakan RM8,500 untuk diberikan kepada mereka yang terlibat dengan harapan ia mampu menyuntik semangat untuk meneruskan kehidupan," katanya selepas penyerahan bantuan itu di MAB, Brickfields dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua CSR MBI Ahmad Azri Zainal Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB George Thomas.

Sementara itu, George mengakui nasib individu cacat penglihatan tidak akan terbela tanpa sokongan agensi seperti MBI berikutan 65 peratus pendapatan persatuan terbabit bergantung sepenuhnya daripada sumbangan awam.

"Kita berasa bertuah sekali kerana MBI begitu prihatin terhadap rakyat Selangor khususnya golongan OKU penglihatan. Agihan bantuan sukar dilaksanakan tanpa sokongan pihak berkenaan.

"Jutaan terima kasih diucapkan kerana sudi memberi bantuan kepada 17 mangsa banjir ini," katanya menambah lebih 3,000 individu cacat penglihatan berdaftar dengan persatuan itu sejak ditubuhkan pada 1951.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619