AGENDA

TH: Berhati-hati dengan tawaran pakej haji 2022

31 Mac 2022, 7:53 AM
TH: Berhati-hati dengan tawaran pakej haji 2022

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pakej haji oleh segelintir agensi pelancongan bagi musim haji 2022.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ketika ini kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi berhubung urusan haji bagi musim haji 2022 daripada kerajaan Arab Saudi.

"Pihak kami dan kedutaan Arab Saudi mendapati ada segelintir agensi pelancongan mengambil kesempatan untuk mengiklankan pakej-pakej haji mahupun badal haji yang amat meragukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Syed Saleh turut mengingatkan, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Beliau berkata pada awal Mac, TH telah melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji tahun ini sebagai langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.

"Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) dengan menelefon 03- 6207 1919.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619