AGENDA

Kuota haji jemaah Malaysia mungkin tidak ditambah - menteri agama

30 Mac 2022, 1:32 PM
Kuota haji jemaah Malaysia mungkin tidak ditambah - menteri agama

IPOH, 30 MAC: Kuota haji untuk rakyat Malaysia berkemungkinan tidak akan ditambah pada tahun ini berikutan kekurangan kemudahan prasarana, seperti tempat penginapan dan lain-lain keperluan yang dihadapi oleh kerajaan Arab Saudi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr TaufiqFawaan Al-Rabiah semasa beliau menghadiri Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah di Jeddah, Arab Saudi baru-baru ini.

“Sememangnya itu permintaan dan harapan (menambah kuota haji) supaya dapat dipertingkatkan, tetapi mereka juga mempunyai kekangan antaranya masalah penginapan hotel, kerana hotel di sana banyak lagi yang tidak dibuka.

“Jadi, mereka (kerajaan Arab Saudi) tidak boleh lagi memberikan jaminan kepada semua negara lagi (mengenai kuota haji),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 21 mangsa banjir dan ribut di sekitar Sungai Rokam di sini hari ini.

Pada Ahad, pemain industri pakej haji berharap, kerajaan Arab Saudi dapat meningkatkan kuota untuk rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji di negara itu melebihi 32,000 jemaah sebelum ini.

Dilapor Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata ini kerana sejak 2019, tiada kemasukan jemaah haji dibenarkan ke Tanah Haram susulan pandemik Covid-19.

“Tahun ini diharapkan ada dan disertai dengan penambahan kuota sedia ada (32,000). Itulah harapan semua orang. Pemain industri berkenaan pakej haji dan umrah terasa (impak) ketiadaan jemaah selama tiga tahun iaitu pada 2020, 2021 dan tahun ini,” kata Ahmad Ruzman.

Dalam pada itu, Idris berkata Lembaga Tabung Haji telah membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi Musim Haji 1443H, supaya segala urusan jemaah haji dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Menurutnya, setiap jemaah haji perlu memuat turun aplikasi Saudi Visa Bio dalam telefon pintar masing-masing, semasa mengerjakan ibadat berkenaan di Tanah Suci.

Beliau berkata aplikasi itu adalah penambahbaikan sistem imbasan pasport, imbasan muka dan cap jari (biometrik) sebelum jemaah haji dan umrah di negara ini berlepas ke Tanah Suci.

Katanya jemaah haji perlu melakukan empat langkah mudah iaitu, melengkapkan alamat emel, imbasan pasport antarabangsa, imbasan muka dan imbasan sepuluh jari untuk muat naik informasi ke dalam sistem tersebut.

“Aplikasi ini memudahkan jemaah haji dan menyenangkan tidaklah perlu beratur berjam-jam lamanya seperti sebelum ini,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619