AGENSI

Perkeso: RM1.5 juta disalur kepada 415 pemandu e-panggilan, p-panggilan

29 Mac 2022, 12:36 PM
Perkeso: RM1.5 juta disalur kepada 415 pemandu e-panggilan, p-panggilan

SHAH ALAM, 29 MAC: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor menyalur bayaran faedah berjumlah RM1.5 juta kepada pemandu e-panggilan dan p-panggilan negeri ini yang terbabit kemalangan.

Pengarahnya Zainol Abu berkata jumlah itu membabitkan 415 pencarum yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas sejak 2020 hingga Januari tahun ini.

Menurutnya faedah tertinggi dibiayai adalah hilang upaya sementara iaitu 352 pencarum diikuti faedah orang tanggungan (23), hilang upaya kekal (19), faedah perubatan (12) dan faedah pengurusan mayat (sembilan).

“Mereka layak mendapat tuntutan ini apabila berlaku kemalangan memandangkan dalam tempoh tersebut mereka tidak dapat bertugas seperti biasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas pelancaran program GIG Care di pekarangan Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Zainol menggesa pekerja dalam sektor berkenaan mencarum dalam Pelan Dua Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) supaya dilindungi jika berlaku insiden tidak diingini.

“Khidmat penghantaran makanan dan barangan sekarang menjadi trend apabila ramai anak muda menceburi bidang ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Waktu kerja mereka fleksibel selain mampu meraih pendapatan lumayan, namun risiko kemalangan adalah tinggi. Jadi kita mengharapkan kesedaran mereka untuk mencarum agar kita dapat lindungi keselamatan,” katanya.

Pendaftaran boleh dibuat melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) atau secara terus di kaunter pejabat Perkeso Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619