AGENSI

PKPS, PNSB jalin kerjasama laksana program jualan murah

23 Mac 2022, 12:30 PM
PKPS, PNSB jalin kerjasama laksana program jualan murah

SHAH ALAM, 23 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi kerjasama strategik pelaksanaan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan.

Kerjasama itu bertujuan menyelesaikan isu bekalan barang makanan khususnya membabitkan bekalan telur ayam menjelang musim perayaan.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi sementara PNSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim disaksikan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim.

Izham ketika berucap berkata kerjasama antara kedua-dua pihak ini membantu memperkukuh rantaian bekalan makanan di Selangor.

"Walaupun kita bermula dengan telur, Insya-Allah akan diperluas skopnya. Malah, lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan jalin kerjasama sama ada antara Kerajaan Negeri mahupun Pusat.

"Kerjasama ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat mendapat faedah terutama golongan berpendapatan rendah (B40)," katanya.

Program jualan murah itu dilancar sejak 28 Februari pada setiap hujung minggu menyasarkan 64 lokasi di seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Selain telur dan ayam, produk lain yang dijual termasuk daging pejal segar berharga RM35 per kilogram, ikan kembung atau selayang (RM8 per pek) dan minyak masak.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program itu mencatat jumlah jualan keseluruhan RM180,000 setakat 14 Mac.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619