AGENDA

MB: Ada berita baik untuk industri hiburan, Selangor prihatin cabaran dihadapi artis

18 Mac 2022, 9:35 AM
MB: Ada berita baik untuk industri hiburan, Selangor prihatin cabaran dihadapi artis

SHAH ALAM, 18 MAC: Keputusan sama ada Selangor mengurangkan atau mengecualikan cukai hiburan sepanjang 2022 akan dimuktamadkan sebelum 1 April ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu dibincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terlebih dahulu bagi mendapatkan data dan perincian.

"Kerajaan Negeri menginsafi cabaran dihadapi artis tempatan dalam bidang pementasan secara langsung. Insya-Allah ada berita baik buat industri ini.

"Kita ada dua pilihan sama ada turunkan (cukai) lima peratus atau kecualikan sepanjang 2022, tetapi untuk panggung wayang kekal pada angka diumum sebelum ini

"Selepas kita amati, persembahan pentas tidaklah memberi sumbangan signifikan kepada keseluruhan nilai cukai hiburan yang kita kutip," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan kutipan cukai hiburan di negeri ini berdasarkan dua aspek meliputi aktiviti bertiket dan aktiviti tidak bertiket.

"Aktiviti bertiket membabitkan panggung wayang, taman tema dan pertunjukan hiburan dengan caj cukai hiburan dikenakan terhadap pembeli sebagai tambahan kepada harga tiket tersebut.

"Bagi aktiviti tidak bertiket pula, ia merangkumi permainan hiburan, pameran dan kebudayaan, pertandingan sukan, hiburan kelab malam, pusat hiburan keluarga, snuker, boling dan pertunjukan pentas," katanya.

Semalam, wakil rakyat Bandar Utama menyaran Kerajaan Negeri mengurangkan duti hiburan khususnya terhadap artis tempatan serendah mungkin bagi membantu golongan itu yang masih terkesan akibat Covid-19.

Jamaliah Jamaluddin berkata tempoh dua tahun pandemik menjejaskan pendapatan serta kelangsungan hidup bukan sahaja membabitkan artis tempatan malah kru belakang tabir industri hiburan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619