AGENDA

MAHB: Proses uji dan lepas VTL udara dilaksana mulai esok

15 Mac 2022, 10:24 AM
MAHB: Proses uji dan lepas VTL udara dilaksana mulai esok

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan proses ‘uji dan lepas’ penumpang yang tiba di bawah kemudahan laluan perjalanan vaksinasi (VTL) udara, bermula esok.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata menerusi langkah penambahbaikan itu, penumpang terbabit tidak lagi perlu menunggu keputusan saringan ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) Covid-19 mereka di lapangan terbang.

“Mereka sebaliknya boleh beredar segera dengan menggunakan khidmat pengangkutan persendirian, teksi atau kereta sewa dari lapangan terbang ke lokasi penginapan yang telah diisytiharkan dalam perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) MySejahtera, sejurus mendapat pelepasan imigresen.

“Ini akan memberi lebih banyak fleksibiliti dan keselesaan kepada pengembara VTL sementara menunggu keputusan ujian masing-masing yang diperoleh dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaik saja keputusan itu negatif, status HSO dalam MySejahtera itu akan diubah oleh pihak berkuasa, kata pengendali lapangan terbang itu.

Menurut MAHB, selain membolehkan para penumpang menikmati proses pelepasan di lapangan terbang dengan lebih pantas, langkah terbaharu itu juga dijangka dapat meminimumkan kesesakan di pintu masuk berkenaan susulan pelaksanaan pelbagai program VTL udara.

VTL udara bagi Kemboja dan Thailand bermula pada hari ini manakala program sama bagi Singapura akan diperluaskan dengan meliputi destinasi baharu Pulau Pinang bermula esok.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619