AGENDA

Isu peralihan fasa monsun, sumber bahan mentah tumpuan Dewan Rakyat hari ini

15 Mac 2022, 12:37 AM
Isu peralihan fasa monsun, sumber bahan mentah tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Persediaan kerajaan bagi menghadapi fasa peralihan monsun serta langkah diambil untuk memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian mencukupi berikutan konflik Rusia-Ukraine antara isu yang akan dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai kesiapsiagaan menghadapi fasa peralihan monsun yang bermula semalam hingga 15 Mei akan diajukan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air semasa Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut tersenarai, soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkaitan langkah proaktif kementerian dalam memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian mencukupi berikutan konflik Rusia dan Ukraine serta Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) meminta Menteri Kesihatan menyatakan skop untuk Kertas Putih Kesihatan yang sedang diusahakan.

Pada sesi soal jawab pula, Hannah Yeoh (PH-Segambut) bertanya mengenai status terkini pembangunan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), cadangan jajaran dan anggaran jangka masa lengkap yang diperlukan untuk setiap proses sehingga ia beroperasi kepada Menteri Pengangkutan.

Selain itu, isu pelajar sekolah yang terpaksa menggalas beban beg sekolah dengan kapasiti yang berat terutama bagi pelajar sekolah rendah akan diajukan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) kepada Menteri Kanan Pendidikan.

Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) pula bertanyakan Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah yang diambil kementerian itu dalam memastikan kemudahan akses Internet 4G memuaskan selepas perkhidmatan 3G ditamatkan di semua kawasan pedalaman atau luar bandar.

Selesai sesi tersebut, persidangan akan bersambung dengan sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja melibatkan lapan kementerian didahului dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619