AGENDA

51,631 kes tipu dalam talian catat kerugian lebih RM1.61 bilion dari 2019-2021

14 Mac 2022, 4:35 AM
51,631 kes tipu dalam talian catat kerugian lebih RM1.61 bilion dari 2019-2021

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Sebanyak 51,631 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian lebih RM1.61 bilion yang dilaporkan dari 2019 hingga tahun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Jonathan Yasin berkata kes belian dalam talian mencatatkan kes tertinggi sebanyak 18,857 kes, diikuti kes pinjaman tidak wujud sebanyak 15,546 kes.

“Pelbagai usaha dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani sindiket termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian dan menjalankan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.

“Kita juga wujudkan 'CCID Scam Response Center' dan orang ramai boleh membuat panggilan untuk mendapatkan maklumat dan kesahihan panggilan bagi sebarang transaksi yang meragukan,” katanya menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Keong Siong ingin tahu secara terperinci mengenai statistik kes penipuan pembelian dalam talian bermula 2019 sehingga tahun lepas serta langkah diambil bagi membendung masalah itu supaya tidak menjejaskan kerancakan urus niaga bentuk baharu.

Jonathan berkata pihaknya sentiasa merancang, menjalankan kajian dan menyemak semula undang-undang yang dikuatkuasakan bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perkembangan serta isu semasa.

“Kita akan kaji semula peraturan Akta Perlindungan Pengguna 2007 sekiranya dapat membendung segala jenis jenayah yang berlaku dalam negara ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) yang ingin tahu sama ada terdapat keperluan untuk undang-undang penguatkuasaan dipinda atau dikemas kini supaya relevan dengan cabaran semasa.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619