ad
AGENDA

Farah Ann diharap terus aktif meski bersara, bantu cungkil bakat baharu gimnastik

14 Mac 2022, 1:21 AM
Farah Ann diharap terus aktif meski bersara, bantu cungkil bakat baharu gimnastik

SHAH ALAM 14 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menyifatkan persaraan ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi sebagai kehilangan permata berharga.

Pengarah Eksekutif MSN Selangor bagaimanapun menghargai sumbangan Farah Ann sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan.

Mohamad Nizam Marjungi memaklumkan persaraan atlet berusia 27 tahun itu sebagai 'hilangnya permata berharga' selepas menempa pelbagai kejayaan dan mengharumkan nama negara.

"MSN Selangor menghormati keputusan beliau untuk bersara dan mengucapkan terima kasih atas sumbangannya sepanjang penglibatan dalam sukan gimnastik.

"Kita juga mengalu-alukan untuk beliau terus bersama-sama dengan MSN Selangor membangunkan sukan gimnastik serta mencungkil bakat baharu. Selamat maju jaya," katanya kepada SelangorKini hari ini.

Farah Ann yang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 akhirnya mengucapkan 'selamat tinggal' kepada sukan gimnastik pada 12 Mac.

Beliau merupakan antara atlet gimnastik artistik negara yang paling berjaya di Sukan SEA dengan kejayaan meraih tujuh emas menerusi penampilan pada edisi 2015 di Singapura, Kuala Lumpur (2017) dan Manila (2019).

Dia juga mencipta sejarah apabila menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket beraksi di Sukan Olimpik selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens dan Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.