AGENDA

Polis buka kertas siasatan pegawai pertahanan awam ceroboh lokasi bencana

13 Mac 2022, 5:25 AM
Polis buka kertas siasatan pegawai pertahanan awam ceroboh lokasi bencana

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Polis membuka kertas siasatan terhadap penularan sebuah video di Facebook mengenai seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) memasuki kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, di sini, tanpa kebenaran, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata selain pegawai APM itu, pemilik laman Facebook tersebut, kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

"Ia berikutan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

“Ketika kejadian, pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah berada di dalam kawasan kejadian dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua individu itu turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan akan dipanggil bagi dirakam kenyataan dalam masa terdekat.

Mohamad Farouk berkata beliau sebagai Komander Operasi Bencana dalam kejadian berkenaan tidak membenarkan pasukan APM memasuki tempat bencana setelah penilaian situasi dibuat dari segala sudut aspek keselamatan dan ruang yang terlalu sempit dan terhad.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang kandungan dan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu.

Dalam video berdurasi selama 55 saat itu yang tular sejak semalam, pegawai APM berkenaan dilihat mempersoalkan tindakan Mohamad Farouk yang tidak membenarkan pasukan APM memasuki kawasan bencana berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619