AGENDA

Jawatankuasa teknikal masih kaji pergerakan tanah runtuh Taman Bukit Permai

13 Mac 2022, 1:20 AM
Jawatankuasa teknikal masih kaji pergerakan tanah runtuh Taman Bukit Permai

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Pasukan jawatankuasa teknikal kerajaan masih menjalankan kajian pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, kata Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 23 Mohamad Samat.

Beliau berkata pasukan jawatankuasa berkenaan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains bersama MPAJ.

“Oleh kerana itu, lokasi kejadian masih ditutup dan tiada sebarang kerja pembersihan serta mengalihkan tanah runtuh dijalankan buat masa ini kerana tahap kestabilan tanah masih belum dapat dipastikan.

“Sebarang keputusan untuk tindakan susulan di lokasi kejadian bergantung kepada keputusan kajian dijalankan oleh jawatankuasa pasukan teknikal kerajaan itu nanti,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian semalam.

Menurutnya, ketika ini pasukan berkenaan mungkin masih lagi mengkaji kekukuhan cerun sebelum keputusan lain dibuat termasuk kerja pembersihan.

“Kami difahamkan pihak JKR menanam peralatan sensor (pengesan) di atas bukit yang terjejas dan sensor ini amat sensitif mengesan secara berkala sebarang pergerakan tanah yang baharu.

“Sebarang tindakan lanjut mungkin dapat diputuskan dalam tempoh sehari dua lagi kerana kami tidak mahu timbul risiko sekiranya keputusan dibuat secara tergesa-gesa,” katanya.

Mohamad berkata tindakan MPAJ adalah meminta penduduk yang terjejas untuk segera tampil membuat laporan dan mendaftarkan diri kepada MPAJ seterusnya mengaturkan bantuan sewajarnya.

“Buat masa ini, hanya 70 peratus penduduk daripada 48 kediaman yang terjejas dan terpaksa berpindah sudah mendaftar. Oleh itu, kami minta keluarga yang belum tampil untuk berbuat demikian dengan hadir ke pejabat Ahli Majlis MPAJ Zon 23,” katanya.

Pada Khamis lepas, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619